KUANTAN – Seramai tiga lelaki melecur dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah di Lorong Alor Akar 5 di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9.24 malam itu, sebuah rumah dan dua buah kenderaan musnah 100 peratus.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya yang tiba di lokasi kejadian pada pukul 10.32 malam mendapati kebakaran melibatkan rumah separuh kekal.
“Seorang lelaki dewasa melecur di tangan dan kaki, manakala seorang lagi melecur di badan. Mangsa yang ketiga pula melecur di kaki. Ketiga-tiga mangsa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya hari ini.
Menurut beliau, kebakaran turut memusnahkan kenderaan pelbagai guna Honda Stream dan kereta Perodua Kancil.
Seramai 28 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, BBP Indera Mahkota dan BBP Kuantan terlibat dalam operasi. – KOSMO! ONLINE