fbpx

Tanggungjawab Malaysia jamin keselamatan pemimpin kuasa besar dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenderaan Jinping keluar dari hotel menuju ke Istana Negara pada pagi tadi. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

PETALING JAYA – Menjadi tanggungjawab sesebuah negara untuk menjamin keselamatan sepanjang tempoh lawatan bagi seorang pemimpin kuasa besar dunia yang dihormati datang melawat bersama delegasinya.

Hal ini kerana sekiranya berlaku kejadian tidak diingini ke atas pemimpin kuasa besar dunia, ia menjadi satu ‘kemaluan’ amat besar kepada negara tersebut.

Menerusi perkongsian seorang bekas kapten juruterbang Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd. Ezairol Rezan Zainol pada Facebook berpandangan, tindakan yang sangat berhati-hati menjaga keselamatan ketua-ketua negara berisiko tinggi ini adalah maruah kepada sebuah negara berdaulat.

“Negara ini akan dipandang negatif, tidak selamat untuk dilawati dan akan memberi impak negatif dari segi hubungan diplomatik, keselamatan dan juga ekonomi.

“Masih ingatkah kita pada insiden pembunuhan ahli keluarga Kim Jong Un, pemimpin Korea Utara? Apa yang berlaku selepas insiden pembunuhan itu? Hubungan diplomatik kedua-dua negara terputus serta-merta.

“Malah negara kita juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga kerana peluru berpandu milik Korea Utara dikatakan boleh sampai ke negara kita. Itu baru Korea Utara. Ini yang datang adalah Presiden China, Donald Trump pun dia abaikan saja,” katanya pada hantaran berkenaan.

Beliau berkata, selain itu, impak lebih besar dan dahsyat turut melibatkan ketenteraan dan ekonomi negara.

“Ini adalah soal diplomatik antara kedua negara, bukan soal politik antara komunisme dan demokrasi. Inilah masanya untuk kerajaan kita berbincang secara baik dengan negara kuasa besar dunia yang sering mengancam sempadan perairan negara kita.

“Inilah masanya Perdana Menteri kita selaku Pengerusi ASEAN untuk berunding, berbincang dan bekerjasama bagi meningkatkan ekonomi negara kita dan ekonomi negara-negara ASEAN khususnya,” ujarnya.

Mohd. Ezairol berkata, ada beberapa buah negara yang pemimpinnya diklasifikasikan sebagai sasaran berisiko tinggi.

“Mereka ini selalu menjadi sasaran pihak pengganas, pembunuh upahan dan juga sasaran pihak-pihak tertentu, biasanya perisik dari negara yang bermusuh dengan negaranya.

“Antara ‘top list’ negara yang diletakkan dalam berisiko tinggi ini adalah Amerika, China, Korea Utara dan Russia,” ujarnya.

Beliau berkata, sehubungan itu, pihak keselamatan negara telah mengaturkan untuk menjaga dan memastikan keselamatan ketua negara yang berisiko tinggi antaranya, melalui kawalan trafik sekali gus memastikan laluan jalan berada dalam keadaan lancar dan selamat sepanjang pergerakannya.

“Beberapa unit sniper ditempatkan di beberapa lokasi, anggota dan pegawai unit khas berpakaian preman akan mengawasi keadaan sekitar. Memantau mereka yang nampak agak mencurigakan.

“Pengawasan dari udara dengan menggunakan helikopter dan dron sepanjang pergerakan. Beberapa anggota sniper juga akan berada di dalam helikopter atas tujuan litupan keselamatan, serta menyediakan sebuah kereta kalis peluru khas untuk pergerakan sepanjang berada di dalam negara,” katanya.

Mohd. Ezairol juga meminta orang ramai tidak mengecam atau mengutuk pasukan keselamatan yang sedang bertugas.

“Mereka bertugas demi negara, bukan sebab mereka. Orang ramai cuma nampak susah yang sekejap. Mereka tak nampak bala lebih besar dan lebih lama jika pihak keselamatan kita mengambil mudah berkenaan lawatan Presiden China kali ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI