fbpx

Tang Jie, Ee Wei ‘rujuk’ semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANG Jie dan Ee Wei akan kembali bergandingan pada kejohanan Terbuka Singapura bulan depan. - AFP

KUALA LUMPUR – Hubungan antara dua pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei kembali jernih apabila mereka bersetuju untuk kembali bergandingan selepas dipisahkan buat sementara hujung bulan lalu.

Perkembangan positif itu dikongsikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini menerusi satu status yang dimuat naik di laman Facebook rasmi badan induk sukan badminton negara itu.

Jelas BAM, keputusan untuk kembali menggandingkan pasangan No.4 dunia itu adalah hasil daripada permintaan kedua-dua pemain tersebut selepas perbincangan yang dibuat bersama barisan kejurulatihan.

“Persatuan Badminton Malaysia mengumumkan Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei akan kembali meneruskan gandingan mereka dalam acara beregu campuran. Keputusan itu berikutan permintaan daripada kedua-dua pemain hasil perbincangan dibuat,” katanya.

Sebagai rekod, kedua-dua pemain itu dipisahkan penghujung Mac lalu ekoran tiada lagi persefahaman sehingga menyebabkan mereka digugurkan daripada menyertai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China.

Meskipun kembali bergandingan, namun kedua-dua pemain itu masing-masing akan beraksi bersama Chan Wen Tse dan Loo Bing Kun buat seketika kerana nama mereka sudah didaftarkan dalam beberapa kejohanan akan datang.

Justeru, Tang Jie-Ee Wei dijangka akan kembali membentuk gandingan semula pada kejohanan Terbuka Singapura yang dijadualkan berlangsung 27 Mei hingga 1 Jun depan.

Keputusan itu dianggap sebagai minggu yang cukup bermakna buat kedua-dua pemain tersebut memandangkan mereka juga berada dalam senarai awal program Road to Gold (RTG) ke arah temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028).

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut mengharapkan komitmen daripada Tang Jie-Ee Wei untuk meneruskan gandingan sekiranya mahu kekal berada dalam program elit berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI