fbpx

Syarikat kitar semula sisa plastik haram didenda RM60,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Premis kitar semula yang didenda RM60,000 atas kesalahan beroperasi tanpa kelulusan EIA dan gagal membuat pemberitahuan bertulis kepada JAS, dua tahun lalu. Foto IHSAN JAS Kedah

KULIM – Sebuah syarikat kitar semula sisa plastik didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan membina loji kitar semula tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), dua tahun lalu.

Syarikat tersebut juga dikenakan denda RM10,000 atas kesalahan gagal memberi pemberitahuan bertulis kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada tahun sama.

Hakim Mirza Mohamad menjatuhkan hukuman itu selepas pengurus syarikat selaku orang kena saman mengaku salah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, syarikat kitar semula sisa plastik yang beroperasi di Taman Industri Makmur, di sini itu telah disabitkan bagi dua kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 dan didenda RM60,000.

“Bagi kesalahan pertama, syarikat didenda RM50,000 bagi kesalahan membina loji kitar semula sisa pepejal sisa plastik tanpa kelulusan laporan EIA.

“Sisa plastik yang dikitar semula itu antaranya bertujuan untuk menghasilkan produk cecair polymethyl methacrylate (PMMA) atau nama lainnya kaca akrilik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kesalahan beroperasi tanpa kelulusan EIA dituduh di bawah Seksyen 34A(6) AKAS 1974, manakala kesalahan kedua di bawah Peraturan 5(1)(b) Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 iaitu gagal memberi pemberitahuan bertulis kepada JAS.

“Kesalahan yang dilakukan pada 11 Julai 2023 itu dikesan hasil siasatan penguatkuasaan yang dijalankan pegawai penguat kuasa JAS negeri ke atas premis yang dimiliki warga China tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, pengurus syarikat memohon agar diringankan hukuman kerana syarikat tidak lagi beroperasi dan telah dikenakan perintah larangan beroperasi oleh JAS.

“Walau bagaimanapun pihak pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa JAS dalam hujahannya memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada pengurus tersebut dan peringatan kepada semua pemain industri kitar semula supaya mematuhi keperluan Akta Alam Sekeliling 1974,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI