PETALING JAYA – Sapura Energy Berhad (SEB) mengumumkan perniagaan Kapal Sokongan Luar Pesisirnya & Geosainsnya, di bawah Bahagian Operasi dan Penyelenggaraan (O&M), telah dianugerahkan beberapa kontrak di Malaysia dan Thailand bernilai hampir RM100 juta.
Kontrak itu termasuk penyewaan dua kapal kerja berkapasiti 200 orang, KPV Redang dan Sapura Duyong untuk menyokong operasi luar pesisir di Malaysia Timur.
Kontrak untuk KPV Redang bermula pada Februari untuk tempoh setahun, dengan pilihan lanjutan setahun manakala kontrak untuk Sapura Duyong bermula pada Mac dan berjalan selama lapan bulan, dengan pilihan lanjutan dua bulan.
Selain itu, lapal kerja berpenginapan dengan kapasiti 200 orang, Sapura Aman disewa selama 245 oleh pengendali tempatan dengan pilihan lanjutan 90 hari lagi dan anak syarikat SEB, Sapura Offshore Sdn. Bhd., menggunakan bot kerja penginapan 300 orang, Sapura 300 untuk tempoh 30 hari.
Kedua-dua kapal berkenaan menyediakan perkhidmatan penginapan untuk kru luar pesisir di Malaysia.
Di Thailand, SEB menerima kontrak untuk menyediakan perkhidmatan mengorek tanah geoteknik menggunakan Sapura Wira, untuk menyokong penggerudian di lapangan Rossukon di Teluk Thailand.
Kontrak tersebut, susulan kejayaan menyiapkan satu lagi projek di Thailand, dijangka siap dalam beberapa minggu akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif bahagian Operasi dan Penyelenggaraan, Sapura Energy, Nasri Mehat berkata, penganugerahan kontrak berkenaan bukti kepercayaan pelanggan terhadap keupayaan Sapura Energy untuk menyampaikan perkhidmatan sokongan luar pesisir yang boleh dipercayai.
“Pada tahun kewangan 2025, kami mencapai 99 peratus masa beroperasi untuk semua kapal sokongan luar pesisir kami dan mengekalkan rekod keselamatan sempurna.
“Pencapaian ini mencerminkan kesungguhan komitmen kami terhadap kecemerlangan dan keselamatan operasi, dan kami berazam untuk mengekalkan rekod prestasi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE