fbpx

RM4.74 juta dikumpul bantu mangsa letupan gas Putra Heights

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan rumah yang rosak dan terbakar akibat kebakaran paip gas di Putra Heights baru-baru ini.

SHAH ALAM – Sejumlah RM4. 74 juta telah berjaya dikumpul setakat ini menerusi Tabung Selangor Prihatin bagi membantu mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi laman Facebook rasminya hari ini.

Kata Amirudin, beliau mewakili kerajaan negeri menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang dan memainkan peranan dalam usaha pemulihan ini.

“Semoga segala usaha, kerjasama dan semangat solidariti yang terjalin ini terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat serta menjamin masa depan yang lebih selamat dan sejahtera untuk semua,” katanya.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Taklimat Khas Insiden Letupan Paip Gas di Putra Heights kepada para Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen Backbenchers Negeri Selangor semalam.

Jelas Amirudin, taklimat itu memberi gambaran tentang langkah-langkah segera yang telah dan akan diambil oleh kerajaan negeri dalam menangani kesan insiden serta memastikan kebajikan mangsa terus menjadi keutamaan.

“Antara perkembangan yang dimaklumkan, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Putra Heights dan Dewan Camelia telah ditutup secara rasmi pada Jumaat lalu.

“Semua mangsa telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing sekiranya disahkan selamat, manakala mereka yang masih memerlukan penempatan telah ditempatkan di kediaman sewaan yang disediakan Kerajaan Negeri, termasuk melalui platform Airbnb,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan letupan gas dan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights telah menyebabkan 437 rumah terkesan dengan 81 daripadanya musnah sepenuhnya.

Letupan itu turut mengakibatkan kawah sedalam lapan meter selain 467 keluarga disahkan terkesan akibat kejadian itu.

Laporan penuh siasatan kes tragedi terbabit dijangka siap seawal pertengahan bulan Mei ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI