IPOH – Polis sedang menyiasat insiden tular berhubung kekecohan yang berlaku ketika anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang menjalankan penguatkuasaan di sebuah restoran di Menglembu hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, laporan kejadian itu dibuat pada pukul 6.43 petang oleh lelaki berusia 40 tahun yang merupakan anggota penguat kuasa MBI.
Katanya, siasatan awal mendapati kekecohan berlaku ketika anggota penguat kuasa sedang menjalankan sitaan kerusi dan meja di restoran itu berdasarkan aduan Jabatan Kesihatan MBI.
“Berlaku provokasi oleh seorang pekerja restoran di mana suspek dikatakan telah mengeluarkan kata-kata kesat dan menghalang anggota penguat kuasa daripada menjalankan tugas rasmi.
“Dalam kejadian itu, pengadu turut memaklumkan seorang anggota penguat kuasa telah ditumbuk oleh suspek,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, tular video di media sosial Facebook yang memaparkan pertengkaran mulut antara pekerja restoran dan penguatkuasa MBI namun situasi menjadi tegang apabila berlaku provokasi daripada individu yang enggan memberi kerjasama. – KOSMO! ONLINE