KUALA LUMPUR – Tabung Haji (TH) memaklumkan persediaan untuk ibadah haji musim 1446 Hijrah hampir selesai sepenuhnya.
Ketua Rombongan Haji, Hisham Harun berkata, segala persiapan merangkumi aspek seperti operasi, logistik, penerbangan dan penginapan kini sudah berada di peringkat akhir.
Beliau berkata, pada tahun ini Malaysia menerima kuota penuh iaitu seramai 31,600 orang jemaah dijadualkan akan berangkat ke tanah suci.
“TH sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatan daripada semua aspek termasuk logistik, penerbangan, penginapan, makanan, kesihatan dan bimbingan ibadah.
“Justeru itu, TH telahpun membuat persiapan sejak tamatnya musim haji yang lalu dengan mengadakan ‘post-mortem’ yang bertujuan untuk menambah baik operasi haji terutama pada tahun ini,” katanya ketika sesi taklimat berkaitan Operasi Haji di Menara Tabung Haji, di sini hari ini.
Hisham berkata, pada tahun ini TH akan membawa seramai 568 petugas haji yang terdiri daripada Petugas Kebajikan dan Petugas Perubatan.
“Meskipun terdapat pengurangan dari segi bilangan petugas, namun kelancaran dan tahap perkhidmatan masih lagi di tahap yang sama.
“Pengurangan berlaku bagi Petugas Kebajikan kerana terdapat tugasan yang boleh dilakukan di Malaysia, contohnya tugasan berkaitan dengan teknologi maklumat yang mana boleh dibuat dengan lebih baik di sini,” katanya.
Selain itu katanya, demi memberi perkhidmatan terbaik dalam aspek kesihatan, TH akan menyediakan pusat rawatan dan doktor pakar untuk jemaah haji agar lebih mudah serta teratur.
“Klinik-klinik TH akan ditempatkan di bangunan Penginapan Jemaah Haji bagi memberi rawatan segera kepada jemaah.
“TH juga telah membuat persediaan dengan menubuhkan Pusat Rawatan Kesihatan di Madinah dan juga di Mekah seperti tahun-tahun yang lalu,” katanya.
Katanya, TH juga menyediakan e-book bersepadu yang boleh dijadikan rujukan lengkap untuk para petugas maktab dan operasi haji.
“Sebelum ini borang soal selidik secara manual, tahun ini menggunakan Borang Maklum Balas Elektronik (e-FF) yang membolehkan pengumpulan maklum balas secara masa nyata, lebih tepat dan efisien.
“TH juga memperkasakan lagi sistem pendigitalisasi Pergerakan Petugas Haji dengan memperkenalkan sistem imbasan kod pada lencana petugas,” katanya. – KOSMO! ONLINE