IPOH – Kerajaan Negeri Perak menaikkan peruntukan bagi Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa tahun 2025 kepada RM4 juta, berbanding RM2 juta pada tahun lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan itu dijangka memanfaatkan hampir 7,000 mahasiswa anak Perak yang melanjutkan pengajian secara sepenuh masa di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah.
“Selain bantuan sara diri, kerajaan negeri turut menyediakan Bantuan Kecemasan Mahasiswa sebagai sokongan kepada pelajar yang berdepan kesulitan mendesak seperti kemalangan, masalah kesihatan serius, kehilangan harta benda atau musibah tidak dijangka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, kerajaan negeri turut menyediakan Bantuan Baucar Buku Mahasiswa dengan peruntukan sebanyak RM750,000, memanfaatkan 5,000 mahasiswa anak Perak dengan nilai bantuan RM150 setiap seorang.
Jelasnya, permohonan bagi ketiga-tiga inisiatif tersebut (Bantuan Sara Diri, Bantuan Kecemasan Mahasiswa dan Bantuan Baucar Buku) dibuka mulai 16 April 2025 menerusi laman sesawang rasmi www.eheyns.com.my.
Tambahnya, tarikh tutup permohonan bagi Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan adalah pada 31 Mei 2025 manakala bagi Bantuan Baucar Buku adalah pada 16 Jun 2025. – KOSMO! ONLINE