LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta enggan mendabik dada meskipun memiliki bekalan selesa tiga gol menjelang aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Real Madrid di Santiago Bernabeu awal pagi esok.
Beliau menganggap kedudukan Arsenal masih belum selamat biarpun menang 3-0 pada aksi pertama minggu lalu kerana percaya dengan kemampuan Real untuk melakukan kebangkitan di laman sendiri.
Arteta berkata, kemenangan minggu lalu hanyalah sebagai aksi separuh masa memandangkan ‘peperangan’ sebenar adalah menjelang 90 minit seterusnya kerana perlu berdepan puluhan ribu penyokong Los Blancos.
Justeru, beliau menggesa barisan pemainnya supaya mengulangi aksi sama seperti ketika mereka menewaskan juara Eropah 15 kali itu walaupun sedar ia bukanlah satu tugas mudah buat The Gunners.
“Selepas kemenangan pertama minggu lalu, pemain-pemain mula bercakap mengenai perancangan untuk aksi timbal balik. Mereka sangat teruja, jadi kami perlu melakukan persiapan terbaik sebelum berkunjung ke Madrid.
“Kami berada pada landasan terbaik ketika ini tetapi bagi saya, ia hanyalah aksi separuh masa pertama. Kalau boleh, saya mahu aksi lebih baik jika kami mahu tewaskan mereka di Bernabeu,” katanya.
Arsenal wajar berasa bimbang menjelang pertemuan menentang Real apabila mereka sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Brentford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad lalu.
Dalam masa sama, mereka juga sedang menantikan keputusan berhubung tahap kecergasan dua pemain tengah berpengaruh, Thomas Partey dan Jorginho yang dilaporkan mengalami kecederaan kecil ketika bertemu Brentford.
“Saya langsung tidak menjangkakan keadaan (kecederaan) itu akan berlaku ke atas Thomas (Partey) dan Jorginho. Saya terpaksa mengeluarkan Partey kerana tidak mahu mengambil risiko,” ujar Arteta. – AGENSI