KOTA BHARU – Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) sedia melatih golongan wanita untuk dilantik sebagai pemandu bas henti-henti bagi memberi ruang kepada pemandu lelaki menunaikan solat Jumaat pada hari tersebut.
Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail berkata, setakat ini, hanya seorang wanita lulus dalam sesi temu duga untuk berkhidmat sebagai pemandu dengan syarikat berkenaan.
“Kita akan memberi latihan kepada golongan wanita yang berminat untuk bekerja sebagai pemandu bas sehingga mereka memperoleh Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).
“E-Mutiara memerlukan seramai 20 orang pemandu untuk perkhidmatan bas henti-henti yang dijenamakan sebagai Bas.My Kota Bharu. Pengambilan pemandu wanita membolehkan pekerja lelaki menunaikan solat Jumaat pada hari berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Konsortium E-Mutiara-Semesra Syawal di sebuah hotel di sini hari ini.
Che Ibrahim memberitahu, sebanyak tiga tambahan laluan baharu bas henti-henti akan dibuka pada tahun ini iaitu Pengkalan Kubor-Tumpat-Kota Bharu, Kota Bharu-Universiti Teknologi Mara Kampus Machang dan Kota Bharu-Meranti.
Katanya, selain itu, sebanyak 43 buah bas henti-henti akan ditambah untuk memudahkan perjalanan khususnya penduduk di luar bandar. – KOSMO! ONLINE