DORTMUND – Serhou Guirassy mungkin mencuri tumpuan dengan hatrik bergaya di hadapan penyokong sendiri, namun gagal menyelamatkan Borussia Dortmund daripada tersingkir di tangan Barcelona dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Selepas dibelasah 0-4 di Sepanyol pada suku akhir pertama minggu lalu, Dortmund bangkit dengan semangat luar biasa dan mencatat kemenangan 3-1 di laman sendiri dalam aksi timbal balik awal pagi tadi, tetapi terpaksa akur tewas 3-5 secara agregat.
Pengendali Dortmund, Niko Kovac menghamburkan pujian kepada barisan pemainnya yang agresif menyerang kubu Dortmund dari awal permainan meskipun akhirnya gagal mengekalkan status mereka selaku naib juara musim lalu.
“Ini satu perlawanan yang cukup menghiburkan terutamanya daripada pasukan saya. Penonton pastinya teruja melihat keseluruhan perlawanan yang begitu mendebarkan dengan serangan bertali arus kedua-dua pasukan.
“Malangnya kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal. Namun, kami seharusnya berbangga kerana kami berjaya menghadiahkan kekalahan pertama Barcelona dalam tahun ini,” katanya.
Dalam aksi itu, Serhou Guirassy meledak hatrik buat Dortmund, manakala Barcelona meraih satu jaringan menerusi gol sendiri bek kiri tuan rumah, Ramy Bensebaini.
Sementara itu, tonggak pertahanan Dortmund, Niklas Suele turut menyatakan kekesalan dengan prestasi hambar pasukan ketika suku akhir pertama yang menurutnya merosakkan segala-segalanya.
“Kami sendiri merosakkannya dalam perlawanan pertama. Prestasi kami terlalu buruk di Barcelona,” jelasnya. – AGENSI