PASUKAN feeder Johor Darul Ta’zim II (JDT II) berjaya merangkul kejuaraan Piala Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) edisi terakhir dengan kelebihan satu mata selepas menewaskan Penang FC 7-0 pada aksi terakhir di Stadium Sultan Ibrahim kelmarin.
Keputusan tersebut menyaksikan kelab Harimau Selatan melakar rekod sempurna apabila semua pasukan di pelbagai peringkat umur mendominasi setiap kejohanan disertai musim ini.
Sebagai rekod, skuad utama JDT menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih, JDT II (Piala MFL), JDT III (Piala Presiden), JDT IV (Piala Belia), JDT B-17 (Piala KPM) selain turut mendominasi Liga Premier Futsal (MPFL).
Pengendali JDT II, Gonzalo Sanz Zaballos mengakui puas dapat menghadiahkan trofi Piala MFL buat pihak pengurusan selain percaya pasukannya layak dilabel sebagai juara selepas mempamerkan aksi konsisten sepanjang musim ini.
“Saya gembira apabila kita dapat menang pada aksi terakhir dan menjulang trofi. Ini adalah musim yang panjang tetapi pasukan kami dapat beraksi secara konsisten.
“Namun, kita tidak boleh terlalu selesa kerana banyak ruang untuk diperbaiki tetapi sekarang adalah masa untuk barisan pemain menikmati kejayaan,” katanya selepas tamat perlawanan.
Zaballos turut memuji impak dua ‘ubi muda’, Gabriel Nistelrooy selepas muncul penjaring terbanyak dengan 24 gol musim ini selain Najmudin Akmal Kamal yang meledak hatrik ketika bertemu Penang.
“Kedua-duanya sangat bagus dan berpotensi menjadi pemain elit. Kita bertuah ada ramai pemain berkualiti untuk membantu pasukan meraih keputusan konsisten musim ini,” katanya.
JDT II berjaya meraih 53 mata selepas mengharungi 24 perlawanan, manakala Selangor FC II yang turut melakar kemenangan 7-0 ke atas Kedah Darul Aman FC B (KDA FC B) mengumpul 52 mata.
Ini adalah penganjuran terakhir selepas MFL membuat keputusan untuk memansuhkan kejohanan peringkat pelapis itu pada musim depan.