MILAN – Pengurus Bayern Munich, Vincent Kompany mengharapkan keajaiban mampu dilakukan anak-anak buahnya pada aksi kedua suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Inter Milan di Stadium San Siro awal pagi esok.
Selain misi untuk mengubah kekalahan 1-2 pada aksi pertama di Allianz Arena minggu lalu, Bayern juga dijangka berdepan ujian sukar ekoran isu kecederaan dan tahap kecergasan melanda barisan pemain utama.
“Kami sentiasa melihat ke depan dan menjangkakan pemain yang akan bermain mampu beraksi baik untuk mendapatkan keputusan bagus. Kami tidak boleh lupa mereka sudah pun bersama pasukan sepanjang perjalanan musim ini.
“Saya tidak mahu merungut dan enggan mengubah sasaran pasukan hanya kerana kami berdepan isu kecederaan. Fokus saya adalah lebih kepada apa yang akan berlaku sekiranya kami bermain baik,” katanya.
Ketika ini, penggempur utama, Harry Kane dan bek tengah, Kim Min-jae sedang bergelut dengan tahap kecergasan hingga menjadi topik utama kepada cabaran yang akan dijelmakan Bayern pada perlawanan tersebut.
Bagaimanapun, Kompany percaya aspek pengalaman akan menjadi titik penentu bagi mengubah keputusan walaupun akur kualiti yang ada pada Inter musim ini.
“Inter adalah pasukan yang cukup bahaya. Bukan sahaja menerusi serangan balas, mereka juga mampu menjaringkan gol kerana memiliki pemain berkualiti, sama seperti yang ada pada pasukan kami,” katanya. – AGENSI