KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi jaminan bahawa kejohanan Badminton Malaysia Masters akan berlangsung dalam keadaan lebih selesa dan selamat selepas masalah bumbung bocor pada edisi tahun lalu ditangani sepenuhnya.
Kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 500 itu bakal membuka tirainya di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula 20 hingga 25 Mei depan yang merupakan antara acara paling dinanti dalam kalendar sukan badminton tanah air.
Menurut Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam, segala kerosakan termasuk struktur bumbung telah dibaiki sepenuhnya oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dengan penganjur yakin tiada lagi isu akan timbul sepanjang kejohanan berlangsung.
“PSM telah pun melakukan kerja pembaikan. Insiden sebelum ini berlaku secara luar jangka, mungkin disebabkan cuaca atau kerja pembinaan.
“Kali ini, kami lebih bersedia. BAM juga sentiasa berkomunikasi dengan pihak stadium dan mereka telah mengambil tindakan segera. Kini semuanya telah disusun dengan rapi,” katanya selepas sidang media Malaysia Masters di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Pada edisi kali ini, saingan Malaysia Masters menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan lebih tinggi AS$475,000 (RM2.1 juta) berbanding AS$420,00 (RM1.8 juta) yang ditawarkan ketika saingan musim lalu, sekali gus menarik lebih ramai pemain ternama.
“Peningkatan hadiah wang tunai adalah satu usaha penambahbaikan untuk menarik penyertaan lebih ramai pemain selain meningkatkan nilai penganjuran. Ia juga menjadi motivasi tambahan buat pemain kita.
“Kami sentiasa mengharapkan pemain-pemain negara supaya dapat menampilkan aksi terbaik dan membawa pulang kejayaan. Inilah pentas untuk mereka buktikan kemampuan di hadapan penyokong sendiri,” ujar Subramaniam. – KOSMO! ONLINE