KAJANG – Seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ditemui meninggal dunia dalam rumahnya di sebuah pangsapuri di Bandar Mahkota Cheras, di sini semalam.
Difahamkan, kejadian disedari rakan setugas mangsa apabila melihat darah di pintu hadapan rumah selepas tiga hari lelaki itu tidak melapor diri untuk bertugas.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira pukul 11.59 malam.
“Kita meminta bantuan pihak bomba untuk membuka pintu, pemeriksaan di dalamnya menemui jasad mangsa berusia 36 tahun.
“Anggota itu kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Kajang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, laporan bedah siasat menunjukkan punca kematian anggota itu disebabkan saluran jantung tersumbat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).
“Sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh disalurkan ke Balai Polis Kajang atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Zharif Shah Ab Rashid di talian 012-5925390,” katanya. – KOSMO! ONLINE