KANGAR – Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan jualan mangga menggunakan nama ‘Adik Harum Manis’ yang dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab di media sosial.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Anzara Azizan berkata, penipuan yang menyasarkan penggemar harumanis itu berjaya dikesan pihaknya, baru-baru ini.
“Seorang pegawai FAMA telah menjalankan risikan selepas melihat iklan jualan yang menawarkan harga serendah RM50 untuk dua kilogram (kg) harumanis, disertakan pula ‘free gift’ tambahan 1kg.
“Namun setelah bayaran dibuat, pegawai tersebut langsung tidak menerima buah yang dipesan. Kami percaya ia perbuatan scammer yang mengambil kesempatan sempena musim tuaian harumanis,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, harga sedemikian jelas tidak munasabah memandangkan harga yang disyorkan bagi gred premium ialah RM37 sekilogram, gred satu (RM34) dan gred dua (RM27).
Anzara turut memaklumkan terdapat peniaga tidak bertanggungjawab yang mengelirukan pembeli dengan menggunakan nama ‘Adik Harum Manis’, sedangkan buah itu sebenarnya adalah mangga dari negara jiran yang dikenali sebagai Nam Man.
“Mangga jenis itu langsung tidak memiliki ciri fizikal harumanis dan penggunaan nama tersebut boleh menjejaskan reputasi raja mangga dengan ia dijual pada harga belasan ringgit untuk satu kg,” jelasnya.
Beliau berkata, FAMA telah menjalankan pemeriksaan dan advokasi bermula awal Januari hingga 15 April lalu melibatkan 14 operasi serta pengeluaran 61 notis pemeriksaan premis. – KOSMO! ONLINE