KOTA BHARU – Seorang pegawai polis terkejut apabila mendapati anak gadisnya berusia 14 tahun menghantar mesej tidak senonoh dan membuat komunikasi berbaur lucah dengan lelaki semasa memeriksa telefon remaja itu baru-baru ini.
Perkara itu didedahkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff yang memberitahu, pegawai tersebut terlintas memeriksa telefon anaknya selepas pendedahan beliau mengenai peningkatan jenayah seksual di Kelantan minggu lalu.
Katanya, pemeriksaan dalam telefon remaja itu kemudiannya menjumpai mesej tidak senonoh dengan lelaki.
“Selepas saya buat pendedahan minggu lalu, pegawai polis itu terpanggil untuk memeriksa telefon anaknya. Dia terkejut apabila mendapati ada mesej tidak senonoh anaknya dengan seorang lelaki.
“Pegawai itu membuat laporan polis dan kita masih menyiasat kes tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Konsortium E-Mutiara-Semesra Syawal di sini semalam.
Mohd. Yusoff berkata, masyarakat kini mula sedar selepas beliau mendedahkan mengenai jenayah seksual di media arus perdana dan media sosial minggu lalu.
Jelas beliau, pendedahan mengenai jenayah seksual itu bukan bermotifkan politik, sebaliknya isu keselamatan yang wajar diambil berat.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan kebanyakan kes rogol, sumbang mahram dan jenayah seksual melibatkan kanak-kanak dan remaja bawah umur di Kelantan dalam tempoh tiga bulan tahun ini merupakan kes ‘suka sama suka’.
Kes seksual membabitkan kanak-kanak bawah umur di Kelantan adalah 65 kes peningkatan 17.1 peratus sejak Januari hingga Mac lalu berbanding 46 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan kes itu dilihat sangat membimbangkan kerana melibatkan kanak-kanak seawal usia 10 tahun. – KOSMO! ONLINE