PARIS – Sekurang-kurangnya tujuh penjara di Perancis diserang secara serentak oleh sekumpulan penyerang bersenjata yang tidak dikenali kelmarin, lapor akhbar The Sun UK.
Selain penjara, beberapa kenderaan di tempat letak kereta turut terbakar dan ditembak menggunakan senjata automatik.
Penjara-penjara yang disasarkan termasuk di Toulon, Aix-en-Provence dan Marseille, Valence dan Nimes, Luynes, Villepinte dan Nanterre.
Di selatan bandar Marseille, beberapa kenderaan terbakar ditulis dengan perkataan ‘DDPF’ yang membawa maksud hak tahanan Perancis.
Penginapan untuk pengawal penjara di utara bandar itu juga turut menjadi sasaran, lapor media tempatan, Le Parisien.
Menerusi catatan di laman X, Menteri Kehakiman, Gerald Darmanin berkata: “Serangan dibuat untuk menakut-nakutkan kakitangan di beberapa penjara. Penyerang bertindak membakar kenderaan dan melepaskan tembakan menggunakan senjata automatik.
“Perancis sedang berhadapan masalah pengedaran dadah dan pihak berkuasa mengambil langkah-langkah yang akan menjejaskan rangkaian jenayah secara besar-besaran.”
Polis masih belum jelas mengenai kumpulan di sebalik siri serangan itu tetapi mereka telah mengenal pasti dua suspek utama.
“Serangan ini diselaraskan. Ia jelas berkait dengan strategi menteri dalam menentang pengedaran dadah,” kata seorang sumber. – AGENSI