SHAH ALAM – Video sekumpulan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mengenakan jubah seakan Ku Klux Klan (KKK) sehingga tular adalah sebahagian sesi pembentangan tugasan akademik.
Ia merupakan pembentangan dibuat oleh pelajar Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil, bagi kursus Contemporary Global and Legal Issues.
UiTM dalam kenyataannya, tugasan berkenaan bertujuan untuk menggalakkan pemikiran kritikal dan kesedaran pelajar terhadap isu-isu hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.
Katanya, pelajar telah memilih untuk membentangkan isu berkaitan diskriminasi kaum dan kebencian berasaskan warna kulit, yang merupakan antara pelanggaran hak asasi manusia yang pernah berlaku di beberapa negara.
“Kostum serta elemen visual yang digunakan bertujuan membantu meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap topik yang dibentangkan, serta memberi gambaran lebih menyeluruh dari perspektif sejarah dan global.
“Pendekatan visual itu adalah sebahagian daripada kaedah pedagogi bagi menyokong penyampaian berimpak tinggi dalam kelas, selaras dengan objektif kursus yang mendorong pemikiran analitik serta kesedaran sivik dalam kalangan pelajar,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu tular video berdurasi 15 saat memaparkan pelajar UITM Dengkil melakukan perbarisan KKK.
Kata UiTM, pensyarah dan pihak fakulti yang bertanggungjawab turut memastikan pembentangan dijalankan secara terkawal dan berlandaskan prinsip akademik, tanpa menyentuh sebarang sensitiviti berkaitan agama, budaya mahupun perkauman.
Tegasnya, tiada sebarang elemen penghinaan terhadap mana-mana agama disebut atau dibincangkan sepanjang sesi tersebut berlangsung.
“UiTM juga menegaskan bahawa pihaknya sentiasa menitikberatkan nilai sejagat seperti toleransi, hormat-menghormati dan kepekaan antara budaya dalam semua aktiviti akademik dan kokurikulum.
“Institusi ini kekal komited terhadap pendekatan pendidikan yang bertanggungjawab, beretika, dan berorientasikan pemikiran kritikal demi membentuk generasi pelajar yang matang dan peka terhadap isu global,” menurut UiTM.
Justeru, UiTM berharap penjelasan ini dapat memperjelaskan keadaan sebenar dan menamatkan salah tafsir terhadap tugasan yang dijalankan itu.
“UiTM akan terus memperkasakan pengalaman pembelajaran pelajar secara holistik dan menyeluruh.
“Kita turut menyeru semua pihak agar menilai insiden seperti ini dalam kerangka akademik dan tidak menafsirkannya di luar konteks asal, selaras dengan semangat pendidikan inklusif dan dinamik yang menjadi tunjang pengajian tinggi negara,” kata UiTM lagi. – KOSMO! ONLINE
UITM Dengkil students doing a KKK parade (allegedly) & everyone watching in amusement rather than stopping them.
Great time for our Malaysia@PDRMsia @MOHEOfficial pic.twitter.com/q7nbEAYGET
— J M (@YuenA_9) April 14, 2025