PETALING JAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyifatkan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai seorang negarawan yang berdedikasi dan tenang.
Baginda bertitah, Perdana Menteri ke-5 itu diingati sebagai seorang pemimpin yang amat mementingkan kesejahteraan rakyat.
Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa sedih dan dukacita di atas kembalinya ke rahmatullah, Allahyarham Tun Abdullah.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan perutusan takziah kepada waris dan keluarga Allahyarham Tun Abdullah khususnya balu, Tun Jeanne Abdullah.
“Di atas jasa dan bakti Allahyarham, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah mengurniakan Allahyarham Tun Abdullah dengan Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A.) pada tahun 1992 dan Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) pada tahun 2000,” titahnya dalam laman rasmi Faceook Selangor Royal Office. – KOSMO! ONLINE