KUALA LUMPUR – Tiket aksi persahabatan antara Manchester United dan ASEAN All-Stars yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, 28 Mei ini sudah boleh dibeli bermula jam 11 pagi nanti.
Selepas 16 tahun, Manchester United kini kembali ke Malaysia dan ia dijangka akan menarik minat penyokong dari segenap negara serantau antaranya Indonesia, Thailand, Singapura, dan Vietnam.
“Ini adalah detik terbaik buat Malaysia, maka jangan lepaskan peluang anda untuk menyaksikan kehebatan Manchester United secara langsung di Bukit Jalil. Jadilah sebahagian daripada detik bersejarah ini, dapatkan tiket anda dan ayuh ciptakan kenangan yang tidak akan dilupakan,” menurut kenyataan pihak penganjur.
Jualan tiket kepada orang ramai akan dibuka secara eksklusif di www.myticketempire.com dan peminat dinasihatkan untuk mendapatkan tiket lebih awal memandangkan permintaan yang tinggi dari dalam dan luar negara.
Antara pemain yang dijangka akan mendapat perhatian ramai adalah Alejandro Garnacho, Bruno Fernandes dan penjaga gol, Andre Onana.
Tidak hanya sekadar perlawanan bola sepak, aksi ini dijangka memberikan impak positif kepada industri pelancongan dan hospitali di negara ini sekaligus bakal memacu ekonomi tempatan serta mempamerkan kemampuan Kuala Lumpur menganjurkan acara antarabangsa bertaraf dunia. – KOSMO! ONLINE