PETALING JAYA – “Saya menjadi dua kali sedih. Sedih di atas perginya seorang negarawan dan sedih melihat Ayahanda Najib Razak berusaha sehabis baik untuk memberi penghormatan terakhir walaupun begitu banyak kekangan.”
Itu kenyataan anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohamad Nizar ketika menyaksikan bapanya hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Peramu Jaya itu sekali gus menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak yang memberi pelepasan kepada bapanya untuk berbuat demikian.
“Terima kasih kepada pihak Kementerian Dalam Negeri dan Pengarah Penjara Kajang kerana memberi pelepasan kepada Ayahanda Najib Razak untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Semasa dalam kerajaan, Ayahanda cukup rapat dengan Allahyarham yang lebih mesra dengan gelaran Pak Lah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ni.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke Dewan Solat Utama, Masjid Negara untuk penghormatan terakhir bermula pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.
Seterusnya, jenazah Perdana Menteri ke-5 itu disembahyangkan selepas solat zuhur sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan.
Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara kira-kira pukul 7.10 malam semalam akibat masalah pernafasan. – KOSMO! ONLINE