TAPAH – Polis mengesahkan telah merekod keterangan calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dirinya menipu dalam permohonan untuk mendapatkan tauliah mengajar agama di negeri ini.
Jurucakap polis, Senior Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, rakaman percakapan Abdul Muhaimin, 44, yang merupakan Yang Dipertua Pas Tapah itu dijalankan ketika beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, semalam.
Katanya, selain Abdul Muhaimin, polis turut mengambil keterangan daripada pengadu iaitu seorang lelaki berusia 36 tahun.
“Pengadu membuat laporan polis untuk rujuk kes berkenaan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) setelah mendapati berlaku pelanggaran pekeliling yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri oleh calon PN.
“Kita telah jalankan siasatan awal dan rakam percakapan. Setakat ini tiada kesalahan dalam tauliah (Abdul Muhaimin) sebagai penceramah. Dia telah kemukakan sijil-sijil, memang ada tauliah dan yang mengesahkan adalah MAIPk.
“Bagaimanapun, kita akan rujuk kes ini kepada MAIPk untuk siasatan lanjut. Di pihak polis, tiada siasatan dijalankan. Ini melibatkan tauliah dan sebagai calon, pencalonannya tidak tergugat kerana itu bukan syarat SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya),” katanya pada sidang akhbar di IPD Tapah di sini semalam.
Menurut Zaharudin, sejak hari penamaan calon Sabtu lalu, sebanyak 23 permohonan permit diterima untuk kempen parti bertanding dan tiada permohonan permit yang ditolak. Setakat semalam, sebanyak tiga laporan polis diterima namun tiada kertas siasatan dibuka. – KOSMO! ONLINE