TEMERLOH – Polis giat mengesan individu yang terlibat dalam aktiviti lumba haram di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) di sini sehingga tular dalam media sosial baru-baru ini.
Berdasarkan rakaman video itu memaparkan seorang individu memberhentikan kenderaan di lebuh raya berkenaan bagi memberi laluan kepada perlumbaan haram.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada pukul 4.52 pagi, 12 April lalu. Seorang lelaki menahan kenderaan di jalan raya bagi melepaskan perlumbaan motosikal haram di LPT.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta memberi kerjasama kepada pihak polis,” katanya di sini hari ini.
Video berdurasi dua minit yang tular itu menyaksikan seorang lelaki memakai baju hitam menahan kenderaan bagi memberi laluan kepada dua penunggang motosikal berlumba di lebuh raya berkenaan.
Siasatan masih diteruskan termasuk mengesan pemilik video dan nombor pendaftaran motosikal yang terlibat dalam aktiviti berbahaya tersebut. – KOSMO! ONLINE