KOTA BHARU – Seorang pembantu kedai makan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun di sebuah rumah di Kampung Pintu Geng dekat sini pada Disember lalu.
Tertuduh, Nuh Che Hamzah, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun tiga bulan semasa kejadian di sebuah rumah di Kampung Pintu Geng di sini kira-kira pukul 9.30 malam pada 8 Disember lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Mohd. Nashriq Nik Mohd. Nazman.
Terdahulu, Ahmad Faiz tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan kes tersebut serius dan melibatkan mangsa yang merupakan kanak-kanak.
Nik Mohd. Nashriq dalam rayuannya memohon satu ikat jamin dengan jumlah yang tidak melebihi RM10,000 dengan alasan tertuduh hanya bekerja sebagai seorang pembantu kedai makan dan perlu menjaga ibu yang terlantar akibat strok.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 15 Mei depan untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE