JOHOR BAHRU – Pemandu kereta BMW yang dipercayai mabuk dan merempuh penghantar makanan sehingga maut di Taman Desa Jaya, di sini kelmarin akan didakwa di mahkamah esok.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kertas siasatan berhubung kes itu telah siap dan dirujuk ke pihak Timbalan Pendakwa Raya.
“Suspek akan dituduh pagi esok,” katanya ringkas ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mohd. Sohaimi memberitahu, suspek berusia 25 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Semakan turut mendapati dia mempunyai 22 saman trafik atas pelbagai kesalahan antaranya nombor plat fancy, lesen tamat tempoh, tiada pelekat P serta ubah suai struktur kenderaan termasuk ekzos,” jelasnya.
Kelmarin, Kosmo! Online melaporkan Mohd. Taufik Ariff Sariff, 37, maut dirempuh sebuah kereta BMW ketika membantu mangsa kemalangan pada pukul 2 pagi di Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru berhampiran Taman Desa Jaya.-KOSMO! ONLINE