TAMPIN – Seorang pekerja penyelenggaraan menara telekomunikasi maut di atas sebuah pencawang setinggi kira-kira 60 meter di Jalan Jelai-Pasir Besar, di Gemas malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri di atas pencawang itu kira-kira pukul 5.15 petang .
Katanya, bomba telah berusaha menyelamatkan mangsa berusia 31 tahun dengan memberikan bantuan pernafasan dan mangsa kemudian dibawa turun pada pukul 9.20 malam, namun mangsa disahkan meninggal dunia.
“Hasil siasatan mendapat, ketika kejadian mangsa sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan pencawang telekomunikasi bersama rakan sekerjanya. Mangsa telah memanjat pencawang seorang diri, manakala rakannya masih berada di bawah pencawang.
“Mangsa ada memaklumkan kepada rakannya yang dia dalam keadaan penat dan rasa kebas di tangan serta tidak larat untuk turun dari pencawang tersebut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes disiasat sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE