KUALA LUMPUR – Pemergian Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum.
Menurut bishop, Revd. Dr. T. Jeyakumar, jasa dan kepimpinan Allahyarham sentiasa dikenang sebagai simbol perpaduan dan keterbukaan terhadap semua komuniti.
“Kami di Gereja Methodist dan Majlis Gereja-Gereja Malaysia amat berbangga dengan kepimpinan Tun Abdul Wahab.
“Beliau bukan sahaja tokoh yang kuat dalam pegangan dan kepercayaannya, tetapi memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Kosmo! selepas memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Tun Abdullah di Masjid Negara hari ini.
Jeyakumar berkata, Allahyarham Tun Abdullah sentiasa menunjukkan sokongan terhadap kebebasan beragama di negara ini.
“Kehadiran kami pada hari ini adalah satu penghormatan dan keistimewaan. Kami amat bersyukur dan berterima kasih atas segala jasa beliau kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Tambahnya lagi, Allahyarham Tun Abdullah dikenang sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang menitikberatkan keharmonian antara kaum dan agama sepanjang pentadbirannya. – KOSMO! ONLINE