fbpx

Lelaki dicekup muat naik video aibkan PM, ada simpan video lucah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video dimuat naik seorang lelaki yang mendatangkan keaiban terhadap Perdana Menteri dan menghasut rakyat Bachok supaya tidak menyertai Majlis Sambutan Aidilfitri Madani baru-baru ini.

BACHOK – Seorang lelaki ditahan selepas memuat naik video yang mendatangkan aib terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi aplikasi TikTok baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihaknya menerima laporan pada 11 April lalu mendakwa suspek turut menghasut rakyat setempat supaya tidak menyertai Majlis Sambutan Aidilfitri Madani.

Katanya, siasatan mendapati lelaki berusia 25 tahun itu menggelarkan Perdana Menteri dengan jolokan nama yang memalukan dan mengaibkan.

“Suspek membuat tuduhan Perdana Menteri akan hadir ke Pantai Irama di sini pada 12 April lalu untuk menipu orang yang berkunjung ke Majlis Sambutan Aidilfitri Madani.

“Lelaki itu membuat kenyataan seolah-olah mengajak orang ramai supaya memboikot majlis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Ismail memberitahu, sehubungan itu, pihaknya menahan suspek dan merampas telefon untuk siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap telefon bimbit suspek mendapati lelaki itu menyimpan video dan gambar lucah.

“Suspek mengaku bersalah bagi kesalahan itu dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini. Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan bagi kes mengaibkan Perdana Menteri,” ujarnya.

Tambah Mohamad Ismail,pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI