KUALA LUMPUR – Jenazah Perdana Menteri ke-5, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara kdi sini pada pukul 2.30 petang tadi.
Jenazah Allahyarham Tun Abdullah ditempatkan bersebelahan makam Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn selepas selesai solat jenazah yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd. Hosni.
Terdahulu, suasana pilu menyelubungi pekarangan Masjid Negara sejak awal pagi apabila orang ramai termasuk pemimpin-pemimpin negara hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Jenazah Allahyarham Tun Abdullah sebelum itu diletakkan di Dewan Solat Utama, Masjid Negara untuk penghormatan terakhir bermula pada pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.
Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada pukul 7.10 malam semalam selepas mengalami masalah pernafasan. – KOSMO! ONLINE