IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad telah memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh semalam berhubung dakwaannya melakukan ugutan jenayah menggunakan pistol di sini kelmarin.
Beliau berkata, proses memberi keterangan berkaitan isu yang tular kelmarin dilakukan pada pukul 10 malam dan memakan masa kira-kira 40 minit.
“Berkaitan isu itu juga, saya menggesa pihak berkuasa menyiasat pihak yang terlibat dalam insiden tersebut kerana mereka telah memberi kenyataan bercanggah kepada polis.
“Saya difahamkan mereka menyatakan dalam laporan polis bahawa saya menyerahkan pistol kepada pembantu, namun dalam rakaman tular itu mereka mendakwa saya telah menunjukkan dan mengugut menggunakan senjata itu. Jelas kenyataan itu bercanggah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini tular rakaman video yang menunjukkan seorang individu dikenali sebagai A. Kalaimughilan mendakwa Muhamad Arafat menunjukkan pistol ke arah kumpulannya ketika menghadiri jamuan hari raya di Dewan Komuniti Taman Indah di sini.
Beliau berkata, pada hari kejadian dia juga tidak membawa pistol seperti yang didakwa individu tersebut.
Pada masa sama, Muhamad Arafat berkata, beliau berharap Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa untuk meneliti isu berkenaan.
Beliau berkata, ini kerana Kalaimughilan yang dikaitkan dengan pencabarnya bagi jawatan Ketua Cabang PKR Tambun, Shamsul Kamar Ani dirakam berkata dalam video itu bahawa dia berada di lokasi tersebut untuk meraih undi.
Katanya, ia jelas merupakan satu kesalahan kerana tindakan itu tidak boleh dilakukan pada hari pengundian, bahkan turut dilakukan di lokasi tidak sepatutnya.
“Difahamkan dia juga memaklumkan dalam laporan polis bahawa telah hadir ke lokasi itu untuk memantau (proses pengundian). Dia boleh ditangkap kerana membuat laporan palsu,” katanya. – KOSMO! ONLINE