KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menambah jumlah denda bekas graduan Universiti Malaya (UM), yang menghina Naib Canselor dalam satu istiadat konvokesyen universiti itu enam tahun lalu.
Wong Yan Ke, 29, yang sebelum ini didenda RM5,000 di Mahkamah Majistret ditambah lagi hukuman denda kepada RM5,000 lagi di Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan selaku responden untuk menambahkan lagi hukuman denda dan pada masa sama menolak rayuan Yan Ke selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman.
Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Muhammad Jamil berkata mahkamah telah mempertimbangkan empat isu utama dalam rayuan kedua-dua pihak iaitu pertuduhan defektif, kekhilafan dalam sabitkan kes, isu pembelaan yang berjaya menimbulkan keraguan munasabah dan hukuman denda.
“Setelah meneliti keseluruhan kes, tiada keraguan dalam kes pendakwaan dan kesalahan seperti pertuduhan telah dibuktikan melampaui keraguan munasabah. Tidak ada alasan mencukupi untuk mengganggu keputusan Majistret bicara yang menyabitkan perayu dan sabitan ke atas perayu adalah selamat, oleh itu sabitan terhadap perayu dikekalkan,” katanya.
Tambah hakim itu, beliau bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa denda berjumlah RM5,000 adalah tidak mencukupi dan tidak bersesuaian dengan fakta dan keadaan kes ini.
“Denda RM5,000 diketepikan dan digantikan dengan denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika denda gagal dibayar. Saya difahamkan perayu telah membayar RM5,000 sebelum ini, oleh itu dia dikehendaki membayar RM5,000 lagi,” katanya.
Semasa prosiding hari ini Yan Kee diwakili peguam Farida Mohamad manakala pendakwaan diwakili Khalijah Mohd. Khalid.
Mengikut pertuduhan, Yan Ke didakwa dengan sengaja telah mengaibkan serta membangkitkan kemarahan Naib Canselor UM, Datuk Ir. Dr. Abdul Rahim Hashim dan tetamu (ketika kejadian) pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-59 di Dewan Tunku Canselor UM di sini pukul 10 pagi pada 14 Oktober 2019.
Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama.
Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pada 9 Oktober 2023, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap Yan Ke selepas didapati bersalah atas pertuduhan itu.
Majistret Illi Marisqa Khalizan menjatuhkan hukuman itu terhadap Yan Ke selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan tersebut.
Sebelum ini, 14 Oktober 2019, ketika istiadat konvokesyen itu, Yan Ke membawa plakad ke dalam Dewan Tunku Canselor UM untuk mendesak pemimpin universiti meletakkan jawatan sambil melaungkan perkataan ‘Tolak Rasis’; ‘Undur VC’ dan ‘Ini Tanah Malaysia’.
Ia dipercayai ditujukan kepada Dr. Abdul Rahim yang menurut graduan itu telah menggunakan nama UM untuk politik kaum dan kepentingan parti semasa Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan oleh Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu (PKMM) UM. – KOSMO! ONLINE