PETALING JAYA – Dialog terbuka antara kaum dan etnik perlu dilakukan secara berterusan dalam usaha memupuk persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun usaha berkenaan tidak sepatutnya dikatakan sebagai gimik politik.
“Penting bagi negara pelbagai kaum seperti Malaysia membentuk survival dan keselamatannya selain menolak politik yang menunggang isu agama dan kaum.
“Belajarlah daripada apa yang pernah terjadi di Eropah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Persidangan Antarabangsa Dialog Peradaban Sempena Sambutan 30 Tahun Dialog Peradaban di Universiti Malaya (ICONCIDI’25), hari ini.
Tambah beliau, isu berkenaan juga menjadi cabaran kepada semua pihak termasuk guru dan pensyarah dalam membentuk pemikiran para pelajar.
“Pihak universiti juga harus mempromosikan perkara yang betul bagi menjamin keamanan negara.
“Percayalah, kita mesti fikirkan dahulu perkara yang betul sebelum bertindak kerana semua agama memberitahu kita demikian meliputi keadilan dan martabat insan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE