KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam (PPIM) berpendapat terdapat penyelesaian lebih baik berbanding tindakan pihak autoriti menebang kira-kira 1,000 pokok durian Musang King di Sungai Ruan, Raub.
Presidennya, Datuk Nadzim Johan berkata, pihak autoriti sepatutnya mencari penyelesaian terbaik dengan melihat secara keseluruhan agar dapat memanfaatkan semua pihak.
“Memang kita kena ikut undang-undang, kalau kita tak patuh dengan undang-undang, kita akan hidup dalam kesukaran.
“Contoh isu tebang pokok, kenapa hasil tu tidak diberi kepada orang ramai?
“Bagi saya, menebang pokok bukanlah jalan terbaik. Contoh kalau kita bela lembu di tanah kerajaan dan didapati salah, tiada sebab kita nak bunuh lembu-lembu tu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Galeri Muka Depan Akhbar PPIM, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan pekebun didakwa menghalang laluan dengan membawa kain rentang bagi menunjukkan ketidakpuasan hati kerana penguat kuasa memusnahkan tanaman mereka yang berusia puluhan tahun, namun keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Terdahulu, operasi penguatkuasaan bagi menebang pokok durian musang king di Sungai Ruan di sini akan melibatkan kawasan seluas kira-kira 202.3 hektar (500 ekar) yang merupakan tanah milik kerajaan negeri.
Difahamkan sehingga kini kira-kira 1,000 pokok durian musang king telah ditebang dan dimusnahkan sejak bermula operasi kelmarin. – KOSMO! ONLINE