BEIJING – Seorang kanak-kanak lelaki di China terpaksa menjalani pembedahan selepas menelan jongkong emas seberat 100 gram ketika bermain di rumahya, lapor laman berita Must Share News semalam.
Budak lelaki berusia 11 tahun itu memasukkan jongkong emas ke dalam mulutnya kerana rasa ingin tahu sebelum menelan objek itu secara tidak sengaja.
Dia kemudian mengalami kembung perut yang ringan tetapi tiada rasa sakit atau ketidakselesaan ketara.
Ibu bapanya segera membawa anak mereka hospital, di mana ujian saringan X-ray mendapati objek itu tersangkut di tengah saluran penghadamannya.
Walaupun masih tidak menunjukkan gejala serius, doktor memasukkan julap dengan harapan jongkong emas itu akan keluar secara semula jadi.
Namun, selepas dua hari, jongkong emas itu kekal berada di kedudukan asalnya.
Situasi itu mendorong doktor membuat keputusan untuk melakukan pembedahan ke atas kanak-kanak tersebut kerana bimbang objek asing itu menyekat saluran penghadamannya.
Pembedahan selesai dalam masa 30 minit, manakala kanak-kanak tersebut dibenarkan keluar dari hospital tanpa sebarang komplikasi. – AGENSI