PETALING JAYA – Terus ‘mengganas’, filem aksi, Blood Brothers: Bara Naga arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra meraih kutipan mencecah RM21 juta dalam tempoh empat hari tayangan.
Perkara itu dikongsikan orang kuat Skop Productions, Datuk Yusof Haslam yang mengakui bersyukur dengan sokongan tidak berbelah bahagi kaki wayang sejak filem terbabit menjengah pawagam bermula 10 April lalu.
“Jalan cerita yang bagus, ditambah kesungguhan pelakon menghidupkan watak menjadikan Blood Brothers: Bara Naga sebagai pilihan utama peminat.
“Alhamdulillah kami dapat sokongan padu ramai malah ada yang maklumkan menonton filem ini lebih daripada sekali selain datang beramai-ramai,” katanya kepada Kosmo! Online.
Mengenai harapan ramai terhadap sekuel bagi filem terbitan Skop Productions dan Primeworks Studios (PWS) itu, Yusof mengakui perkara tersebut ada dalam perancangan produksi.
“Insya-Allah, kita tengok nanti tetapi apa pun kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang bagi sokongan padu,” ujarnya.
Blood Brothers: Bara Naga yang dilabelkan sebagai filem berkualiti antarabangsa membariskan pelakon Syafiq Kyle, Sharnaaz Ahmad, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly, Zamarul Hisham, Wan Hanafi Su dan Amelia Henderson.
Kisahnya memaparkan perjalanan hidup Ariff lakonan Syafiq yang direkrut Ghaz (Sharnaaz) untuk berkhidmat di bawah naungan Datuk Zul (Wan Hanafi) juga ahli perniagaan berpengaruh merangkap ketua Mafia Naga.
Sejak itu, Ariff mengangkat bai’ah setia sebagai pengawal peribadi elit dalam syarikat kawalan keselamatan dipanggil Silent Guard, sekali gus terikat sebagai Blood Brother kepada Ghaz.
Namun, ketika pengkhianatan dahsyat menggoncang dunia mereka, Ariff dituduh sebagai pembelot dan dalam keadaan terdesak membersihkan namanya, Ariff mendapatkan bantuan abang kandungnya yang sudah lama terpisah, Jaki (Syazwan).
Ghaz pula diamanahkan memburu dan menangkap Ariff untuk menyerahkannya kepada pengadilan keluarga Naga yang ingin balas dendam.
Menelan kos sebanyak RM7 juta, filem itu kini ditayangkan di 170 pawagam seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. – KOSMO! ONLINE