BRUSSELS – Ahli perniagaan India, Mehul Choksi ditangkap di Belgium selepas New Delhi meminta dia diekstradisi ke India, lapor Perbadanan Penyiaran Britain(BBC).
Bilionair berlian itu dikehendaki oleh pihak berkuasa kerana terlibat menipu salah sebuah bank terbesar di India sebanyak AS$1.8 bilion (RM7.9 bilion).
Mehul yang meninggalkan India dalam tahun 2018, ditangkap pada Sabtu lepas, kata peguamnya, Vijay Aggarwal kepada BBC kelmarin.
Menurut Vijay, beliau akan mengemukakan rayuan terhadap penahanan Mehul dan menentang ekstradisi anak guamnya ke India.
“Dia tidak berisiko melarikan diri dan keadaan kesihatannya sangat daif. Anak guam saya sedang menjalani rawatan kanser,” kata Vijay.
Tambahnya, dia dan pasukan peguamnya akan mencabar perintah ekstradisi New Delhi atas alasan tiada bukti kukuh untuk mendakwa anak guamnya, manakala permintaan ekstradisi itu juga adalah bermotifkan politik dan perbicaraan di India ‘mungkin berlangsung tidak adil’.
Menurut laporan Times of India, Mehul ditangkap berdasarkan dua waran yang dikeluarkan oleh sebuah mahkamah India dalam tahun 2018 dan 2021.
Anak saudara Mehul, Nirav Modi dikehendaki pihak berkuasa berhubung kes penipuan Bank Nasional Punjab(PNB) berjumlah AS$1.8 bilion tersebut.
Nirav yang juga menetap di luar negara sejak 2018, kini ditahan di sebuah penjara London dan menunggu untuk diekstradisi ke India. – AGENSI