BARCELONA – Pengendali Barcelona, Hansi Flick memberi amaran kepada pasukannya supaya tidak ‘goyang kaki’ dan tampil serius pada perlawanan suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bertemu Borussia Dortmund awal pagi esok.
Sebagai rekod, skuad The Catalans boleh dianggap sudah meletakkan sebelah kaki ke peringkat separuh akhir apabila berjaya melakar kemenangan bergaya 4-0 pada aksi pertama di Stadium Olimpik Lluis Company minggu lalu.
Kata Flick, tiada apa yang mustahil dalam bola sepak dan mana-mana pasukan boleh menunjukkan kebangkitan luar biasa jika barisan pemain tidak memberikan sepenuh jiwa di atas padang.
Sehubungan itu, pengendali dari Jerman tersebut tidak mahu anak-anak buahnya menganggap aksi di Signal Iduna Park sebagai perjalanan ‘makan angin’, sebaliknya menuntut mereka untuk membawa pulang kemenangan ke Barcelona.
“Bola sepak adalah sukan yang gila. Saya percaya barisan pemain memiliki mentaliti juara untuk bertandang ke tempat lawan dan memburu kemenangan.
“Selain itu, saya mahu pasukan elak daripada kesilapan mudah yang boleh membuka ruang buat Dortmund melakukan kebangkitan.
“Apa yang penting, kita masih belum layak ke peringkat separuh akhir dan tiada siapa boleh menjangka apa yang akan berlaku dalam tempoh 90 minit perlawanan nanti,” katanya.
Barcelona ketika ini tekad untuk memburu trofi UCL pertama dalam tempoh 10 tahun selepas kali terakhir menang pada edisi 2015 sewaktu pasukan itu dikendalikan oleh Luis Enrique. – AGENSI