LONDON – Corak permainan menyerang dan agresif bakal diterapkan Arsenal menjelang aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Real Madrid di Santiago Bernabeu awal pagi Khamis ini.
Walaupun memiliki bekalan selesa menerusi kemenangan 3-0 pada pertemuan pertama minggu lalu, namun pemain tengah The Gunners, Thomas Partey menegaskan, mereka tidak akan bermain secara bertahan.
Sebaliknya, skuad kendalian Mikel Arteta itu meletakkan sasaran untuk memenangi perlawanan tersebut biarpun sedar Real akan memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
Partey berkata, Arsenal akan mengekalkan corak permainan sama seperti melayan kunjungan Real di Stadium Emirates minggu lalu kerana itu satu-satunya cara untuk mara ke separuh akhir.
“Bagi saya, perlawanan itu akan menjadi salah satu pertemuan terbesar buat Arsenal pada musim ini. Bagi menghadapi perlawanan dengan prestij cukup besar, kami memerlukan mentaliti seperti minggu lalu.
“Kami perlu yakin kerana misi kami sekarang adalah pergi ke sana (Bernabeu) dan menampilkan corak permainan sendiri dengan sasaran untuk menang. Ia memang sukar tetapi kami perlu percaya kepada kemampuan pasukan,” katanya.
Sementara itu, Partey yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan ketika seri 1-1 menentang Brentford pada Ahad lalu berharap akan cergas sepenuhnya bagi membantu pasukan menyingkirkan Real.
“Sudah tentu saya mahu menjadi sebahagian pasukan yang akan bermain di Bernabeu nanti. Bagi saya, ia satu pengalaman dan kenangan cukup indah buat mana-mana pemain untuk beraksi dalam perlawanan seperti itu,” ujar Partey. – AGENSI