fbpx
Razarudin menyatakan suspek berasal dari Kulim, Kedah tidak lagi tinggal di negara ini sejak 20 tahun.

20 tahun pembunuh upahan jadi pelarian di Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang rakyat Malaysia yang ditahan berhubung kes rompakan kedai emas di Hatyai baru-baru ini, dipercayai menjadi pelarian selama 20 tahun di Thailand.

Lelaki berusia 62 tahun itu dipercayai melarikan diri ke negara jiran selepas terbabit dalam kes bunuh dan rompakan kedai emas di Butterworth, Pulau Pinang pada 2005.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sejak itu, lelaki yang berasal dari Kulim, Kedah tersebut tidak lagi tinggal di negara ini.

“Suspek dikesan menggunakan dokumen palsu untuk bersembunyi di negara terbabit.

“Semasa tangkapan dilakukan terhadapnya, suspek dikesan memiliki kad pengenalan Thailand palsu selain tiada MyKad atau pasport Malaysia ditemukan bersamanya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut Razarudin, semakan mendapati lelaki itu memiliki 10 rekod jenayah termasuk bunuh di negara ini. Suspek juga mempunyai dua rekod dikehendaki iaitu kes bunuh dan Seksyen 3(1) Ordinan Darurat 1969.

Jelasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah awal menyemak kertas siasatan membabitkan jenayah dilakukan suspek di negara ini sebelum proses ektradisi dilakukan.

“Pihak PDRM telah dimaklumkan sebaik sahaja suspek diberkas di Bangkok minggu lalu atas kesalahan samun bersenjata di Hatyai.

“Ketika ini kita serahkan kepada Polis Thailand untuk mengambil tindakan terhadap lelaki itu atas kesalahan yang dilakukan di negara tersebut,” katanya.

Tambahnya, suspek kini ditahan di lokap Hatyai dan siasatan menyeluruh dijalankan oleh pihak berkuasa Thailand.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki yang terlibat kes rompakan bersenjata di sebuah kedai emas di Hatyai dalam wilayah Songkhla diberkas di Terminal Bas Selatan, Bangkok pada 9 April lalu, kata Pegawai Polis Wilayah Rantau 9.

Menurut laman berita Thailand, suspek dikenali sebagai Yee Boon Long ditahan bersama 69 rantai emas, sepucuk senjata api dan peluru ketika turun daripada bas sewaktu dalam perjalanan dari Hatyai.

Dalam kejadian pada pukul 11.55 pagi, Selasa lalu, pekerja kedai emas berkenaan memaklumkan seorang perompak bertopeng dan bersenjata api me­larikan barang kemas seberat 2.25 kilogram bernilai lebih 7 juta baht sebelum melarikan diri de­ngan motosikal.

Susulan itu, mahkamah wilayah Songkhla mengeluarkan waran tangkap terhadap suspek yang turut menggunakan nama Anucha Saeyeoh.

Lelaki itu pernah terlibat kes rompakan kedai emas di Hatyai pada 2017 dan dibebaskan dari penjara setahun setengah lalu.

Suspek juga disyaki membunuh dua beradik Thai, Montree Saekung dan Srirat Saekung di Songkhla pada 22 Mei 2014.

Di Malaysia, lelaki itu dikehendaki kes rompakan dan me­larikan emas bernilai 50 juta baht (RM6.6 juta) di Butterworth.

Suspek turut dikehendaki di Malaysia kerana bekerja sebagai pembunuh upahan dengan 10 mangsa dikaitkan dengan lelaki tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN