PETALING JAYA – Sambutan Songkran di Malaysia mengingatkan bahawa perpaduan bukan sahaja terletak pada toleransi, tetapi pada pengiktirafan dan penghargaan terhadap warisan budaya setiap komuniti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perayaan Songkran disambut oleh komuniti Thai terutama di Kedah, Perlis dan Kelantan membawa simbolik mengeratkan hubungan kekeluargaan dan komuniti.
Kata beliau, ia juga simbolik kepada permulaan tahun baharu yang suci, hormat-menghormati generasi terdahulu dan pengukuhan ikatan komuniti diraikan dengan penuh adat dan budaya yang kaya.
“Selamat Menyambut Perayaan Songkran kepada seluruh masyarakat Siam di Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, masyarakat Siam adalah sebahagian penting daripada mozaik kebangsaan kita yang turut menyumbang kepada kekayaan identiti Malaysia.
Kata beliau, Kerajaan Madani sentiasa memelihara dan meraikan kepelbagaian itu.
“Justeru, marilah kita terus memupuk semangat saling memahami dan memperkukuh perpaduan demi kemakmuran bersama,” katanya. – KOSMO! ONLINE