JERANTUT – Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggang terbabas dan melanggar tiang lampu di Kilometer 29, Jalan Jerantut-Maran berhampiran Felda Sungai Tekam di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad berkata, kemalangan pada pukul 7.30 malam itu berlaku ketika, mangsa, Mohd. Fitri Haziq Mohd. Fadir,19, dalam perjalanan dari arah Jerantut menghala ke Maran.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri dan melanggar tiang lampu.
“Akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah di bahagian muka dan patah paha kiri. Remaja itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut Zukri, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jerantut untuk dibedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE