ALOR SETAR – Seorang pencuci kereta dihukum penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan menggunakan video bogel kenalan wanita, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Haiqdil Abdul Rani, 30, dikenakan hukuman itu selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret, Eliana Ismail.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan ke atas wanita berusia 30 tahun dengan mahu menyebarkan video bogel mangsa sehingga mendatangkan ketakutan terhadapnya.
Perbuatan itu kemudian mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM2,510 kepada tertuduh.
Kesalahan tersebut dilakukan di Kampung Titi Haji Idris, di sini kira-kira pukul 10.35 malam, 7 April lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Jayasri dilakukan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang meperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
Mengikut fakta kes, tertuduh dan mangsa mengenali antara satu sama lain menerusi media sosial sebelum komunikasi antara mereka berlanjutan kepada panggilan video.
Haiqdil yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan berikutan dia hanya memperoleh RM30 sehari dengan bekerja di sebuah kedai mencuci kereta serta perlu menyara ibu dan enam adik.
Jayasri bagaimanapun memohon hukuman setimpal kerana mangsa telah diperas ugut berulang kali.
Mahkamah seterusnya menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan dari tarikh tertuduh ditahan. Tertuduh kemudian dibawa ke Penjara Pokok Sena untuk menjalani hukuman penjara. – KOSMO! ONLINE