fbpx

Masalah liputan Internet, telekomunikasi di DUN Ayer Kuning sedang diatasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan segera susulan teguran oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengenai masalah liputan Internet dan telekomunikasi tidak memuaskan di 27 lokasi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

MCMC dalam satu kenyataan media berkata, beberapa langkah proaktif telah diambil oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti yang diarahkan oleh MCMC bagi memastikan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan DUN Ayer Kuning dan lokasi tumpuan Pilihan Raya Kecil (PRK) berada pada tahap memuaskan.

“Beberapa lokasi telah dikenal pasti sebagai kawasan keutamaan termasuk Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka Tapah, 21 Pusat Mengundi di sekitar DUN Ayer Kuning, Pusat Media di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning serta NADI PPR Sri Bidor,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut MCMC, setakat pukul 6 petang semalam, semua penyedia perkhidmatan iaitu CelcomDigi,Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL telah mengemukakan pelan tindakan terkini yang ditambah baik kepada MCMC.

Jelas MCMC, antara inisiatif penambahbaikan yang telah dirancang termasuk pengoptimuman stesen pemancar sedia ada, pemasangan pemancar sementara dan perkongsian infrastruktur antara penyedia perkhidmatan.

Kata MCMC, Kaunter Aduan MCMC turut dibuka di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang, Tapah dari 12 hingga 26 April 2025 bagi mendekati masyarakat setempat.

“Kaunter tersebut beroperasi setiap hari bermula 9 pagi hingga 9 malam bagi menerima sebarang aduan berkaitan telekomunikasi, pos dan isu lain di bawah bidang kuasa MCMC.

“MCMC akan terus memantau prestasi liputan secara harian dan akan menyampaikan sebarang aduan baharu terus kepada penyedia perkhidmatan untuk tindakan segera.

“Sebarang kelewatan atau ketidakpatuhan terhadap 1arahan ini akan dikenakan tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan undang-undang yang terpakai,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI