fbpx

Ethan, Adania muncul raja, ratu boling remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ETHAN (kiri) dan Adania bersama trofi yang dimenangi masing-masing pada Kejohanan Boling Terbuka Malaysia semalam. - ISKANDAR ISHAK

KUALA LUMPUR – Juara bertahan, Ethan Damien Goh Chen Ming terus membuktikan kehebatannya apabila sekali lagi menakluk Kejohanan Boling Terbuka Malaysia dengan mengekalkan gelaran juara remaja dua tahun berturut-turut di Sunway Megalanes, Subang Jaya semalam.

Atlet berusia 15 tahun itu mempamerkan prestasi konsisten sepanjang lapan pusingan final dengan mengumpul 1,820 mata, meninggalkan pencabar terdekat yang juga rakan sepasukan, Wan Muhammad Zarif Ikram Wan Mazlan (1,722 mata).

Kemenangan itu tidak hadir dengan mudah apabila Ethan hampir dikejutkan pada pusingan terakhir selepas sekadar mencatat 147 mata iaitu balingan terendahnya dalam aksi tersebut.

Bagaimanapun, nasib menyebelahinya apabila kelebihan mata yang dikumpul dalam tujuh pusingan awal cukup untuk mengekalkan kedudukan teratas.

“Pada permainan terakhir, saya tak tahu nak buat apa… saya sangat tertekan. Mujur dapat juga mata 147,” katanya.

Sasaran seterusnya buat Ethan kini lebih besar iaitu memburu kejuaraan kategori terbuka lelaki dan turut menyasarkan kedudukan podium dalam kejohanan antarabangsa Sonic di Singapura.

Sementara itu, kejutan manis hadir dalam kategori remaja wanita apabila Adania Redwan melakar sejarah peribadi dengan merangkul kejuaraan pertamanya di kejohanan berprestij itu, mengatasi rakan sepasukan Anis Hannani Romzi dengan kutipan 1,840 mata berbanding 1,746 mata.

Adania yang tampil tenang dan bertenaga mengakui meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik.

“Saya gembira sebab tadi bermain nampak okey… memang sasar tiga teratas. Alhamdulillah dapat capai,” katanya.

Seperti Ethan, Adania juga bakal bersaing dalam kategori wanita terbuka dan berharap dapat melepasi pusingan kelayakan meskipun menyedari saingan lebih sengit.

“Ramai senior dan pemain luar negara… jadi sasara saya nak layak dahulu,” jelasnya.

Kejayaan Ethan dan Adania bukan sahaja mengukuhkan kedudukan mereka sebagai bintang remaja negara, tetapi juga membuktikan kemunculan generasi baharu yang bersedia untuk mencabar peringkat lebih tinggi dalam arena boling tanah air. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI