SUBANG JAYA – DAP menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung penahanan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, sambil menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihak peguam parti telah dimaklumkan mengenai perkembangan terkini kes berkenaan dan akan menguruskannya mengikut saluran yang sewajarnya.
“Bagi isu perundangan yang timbul, peguam kami sedang menguruskannya berdasarkan proses dan prosedur undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Tabung Bantuan Bencana Putra Heights di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang ditahan pihak polis petang tadi bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas semasa pelaksanaan ‘Op Sekat’ di daerah ini minggu lalu.
Perkara itu turut dimaklumkan menerusi hantaran di laman rasmi Facebook Yu Hui, yang mengesahkan penahanan kedua-dua individu tersebut melalui wakil peguam mereka. – KOSMO! ONLINE