fbpx

Badan Peguam diperintah bayar RM340,000 kepada Muhammad Shafee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Shafee ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini.- Foto oleh MUHAMMAD NAIM HELMI HAFIDZI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Badan Peguam membayar ganti rugi sebanyak RM340,000 kepada peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh memutuskan demikian selepas Mahkamah Persekutuan pada 2021, memutuskan bahawa Badan Peguam telah menyalahi undang-undang dengan membenarkan dan menerbitkan usul mengutuk Muhammad Shafee sebelum merujuk perkara itu kepada Lembaga Tatatertib.

Mahkamah memberikan ganti rugi RM200,000 untuk kerosakan reputasi, RM100,000 (kehilangan peluang profesional), RM20,000 (tekanan mental dan kesihatan) serta RM20,000 (ganti rugi teruk).

Sejurus selepas prosiding, peguam itu berkata, beliau akan menyalurkan wang tersebut untuk kebajikan, sama ada kepada kanak-kanak atau peguam yang tidak berkemampuan.

“Anda pastinya terkejut kerana ada peguam yang sakit malah tidak mampu untuk membayar bil hospital,” katanya.

Pada Mac 2015, Muhammad Shafee menyaman Badan Peguam, bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri VC George. Ketika itu, Thomas dan George adalah peguam.

Beliau mendakwa Thomas telah menerbit dan mengemukakan usul pada 28 Februari 2015 untuk dibahaskan dalam AGM ke-69 Badan Peguam pada 14 Mac tahun sama dan usul itu telah disokong oleh George.

Usul itu berkaitan kelakuan Muhammad Shafee sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam rayuan kes satu kes liwat di Mahkamah Persekutuan yang mendakwa peguam itu telah melanggar peraturan profesion perundangan yang melarang beliau mengiklankan diri.

Usul itu juga mendakwa Muhammad Shafee telah mengambil bahagian dalam jerayawara di seluruh negara dengan tujuan menghina seorang banduan yang telah disabitkan.

Pada 26 Mei 2016, Mahkamah Tinggi menolak saman Muhammad Shafee dan peguam itu juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 11 Oktober 2018 yang menyebabkan beliau membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Kemudian pada 20 Oktober 2021, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Muhammad Shafee dan memutuskan bahawa beliau berhak mendapat ganti rugi daripada Badan Peguam serta memerintahkan agar kes itu dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk taksiran ganti rugi – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI