fbpx
TEKNOLOGI AI digunakan untuk meningkatkan pengalaman penonton serta kualiti penyiaran di negara ini selain meningkatkan kecekapan bekerja seseorang kakitangan.

Ramai bimbang teknologi baharu ganti manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK penubuhannya lebih lima dekad lalu, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) telah melalui pelbagai evolusi seiring perubahan zaman.

IPPTAR yang bertindak sebagai Institusi Latihan Awam (ILA) diselia sepenuhnya di bawah Kementerian Komunikasi dan berperanan melatih pegawai kerajaan dalam bidang penyiaran (Jabatan Penyiaran Malaysia – Radio Televisyen Malaysia) serta penerangan (Jabatan Penerangan Malaysia).

Meskipun sudah lama ditubuhkan dan memainkan peranan serta sumbangan besar dalam lanskap penyiaran dan media negara, kewujudan IPPTAR masih lagi menjadi tanda tanya banyak pihak.

Bagi mengupas lebih lanjut mengenai sejarah penubuhan, misi, visi, peranan, kejayaan dan cabaran dihadapi sebagai salah sebuah ILA terkemuka negara, wartawan Kosmo! Ahad, SAIRUL ZAMRI MISRANI berpeluang menemu bual Ketua Pengarah IPPTAR, Roslan Ariffin di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

ROSLAN menyatakan, pihaknya mampu beradaptasi dengan segala bentuk perubahan teknologi yang semakin pesat berkembang.

KOSMO! AHAD: Boleh ceritakan serba sedikit mengenai sejarah penubuhan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR)?
ROSLAN: IPPTAR ditubuhkan pada tahun 1971 dengan tujuan memperkukuhkan sektor penyia­ran dan penerangan di Malaysia.
Nama institut ini diambil bersempena dengan nama Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak yang dikenali atas sumbangannya dalam memajukan pendidikan dan komunikasi di negara ini.

Pada awalnya, IPPTAR berpe­ranan melatih pegawai kerajaan dalam bidang penyiaran dan penerangan.
Dari masa ke masa, institut ini berkembang menjadi pusat latihan dan penyelidikan yang menyokong bukan sahaja sektor kerajaan, tetapi juga industri media serta penyiaran secara ke­seluruhan.

Dengan misi untuk memberikan latihan berkualiti dalam bidang komunikasi, IPPTAR telah membantu dari aspek pembangunan golongan profesional dalam industri penyiaran di Malaysia
Kini, IPPTAR tidak hanya fokus kepada penyiaran konvensional, tetapi turut melibatkan diri dalam pengajian teknologi baharu yang semakin berkembang seperti media digital dan kecerdasan buatan (AI).

Apakah fungsi utama ­IPPTAR dalam pembangunan sektor penyiaran dan penera­ngan di Malaysia?

Fungsi utama IPPTAR adalah untuk menyedia dan memberikan yang komprehensif dalam pelbagai bidang penyiaran pe­nerangan dan komunikasi.
Kami bertanggungjawab untuk menyediakan kursus-kursus yang berfokus kepada pengembangan kemahiran teknikal dan kreatif bagi profesional dalam industri media, termasuk penulisan skrip, penyuntingan vi­deo, pengurusan stesen penyiaran dan pengendalian teknologi penyiaran yang terkini.

Selain itu, IPPTAR turut terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan yang membantu dalam merangka dasar-dasar dan strategi media negara.

Kami juga memainkan pe­ranan penting dalam memberi sokongan kepada kerajaan untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat sama ada dalam bentuk media penyiaran atau digital dengan menggunakan pendekatan yang inovatif serta berkesan.

Fungsi kami tidak terhad kepada latihan dalam negara sahaja, tetapi turut melibatkan perkongsian ilmu de­ngan pelbagai institusi luar negara dalam usaha memperkukuhkan kerjasama strategik dalam industri penyiaran global.

Bagaimana IPPTAR me­nyumbang kepada perkembangan industri penyiaran negara selama ini?

Sejak penubuhan IPPTAR lebih lima dekad lalu, kami telah memberikan latihan yang melahirkan banyak tenaga kerja yang berkaliber dalam industri penyiaran dan komunikasi.

Contohnya, ramai graduan IPPTAR kini memegang dan menyandang pelbagai jawatan penting dalam stesen penyiaran utama seperti di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Media Prima dan Astro serta dalam pelbagai syarikat media yang lain.

Di samping itu, IPPTAR juga telah menghasilkan beberapa kajian dan laporan penyelidikan yang memberi panduan kepada kerajaan serta industri mengenai trend semasa dalam bidang media.

Kami turut berperanan dalam memperkenalkan teknik penyia­ran yang lebih efisien dan efektif termasuk teknologi penyiaran digital yang membantu negara dalam memastikan industri ini terus berkembang sejajar dengan kemajuan teknologi global.
IPPTAR juga aktif dalam me­rangka dan melaksanakan program kerjasama antarabangsa dengan negara-negara lain untuk memastikan bidang penyiaran di Malaysia sentiasa berada di barisan hadapan.

Apakah misi dan visi utama IPPTAR dalam membawa perkembangan industri penyia­ran ke arah lebih mo­den?
Misi utama IPPTAR adalah untuk menyediakan pendidikan dan latihan yang relevan dengan perkembangan semasa dalam bidang penyiaran, penerangan dan komunikasi.

Kami berusaha memastikan bahawa tenaga kerja dalam industri ini dapat dilengkapi de­ngan kemahiran terkini dan mampu beradaptasi de­ngan segala bentuk perubahan teknologi yang pesat.
Kami juga fokus untuk me­ningkatkan daya saing sektor penyiaran negara melalui penggunaan teknologi digital dan inovasi dalam penyiaran.

Visi kami pula adalah untuk menjadikan IPPTAR sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang penyiaran dan komunikasi yang dapat melahirkan tenaga profesional yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, tetapi mempunyai pemikiran kreatif dan mampu menghasilkan kan­dungan yang relevan serta bernilai bagi masyarakat.
IPPTAR juga mahu menjadi pusat rujukan utama dalam pembangunan penyiaran baik di pe­ringkat nasional mahupun global.

Bagaimana IPPTAR merancang untuk memperkasakan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor penyiaran dan penerangan negara?

Dalam era digital yang semakin berkembang ini, IPPTAR menyedari bahawa AI memainkan peranan yang semakin penting dalam penyiaran.

Kami sedang mengambil langkah proaktif untuk memper­kenalkan penggunaan AI dalam penyiaran terutama dalam automasi proses penyuntingan vi­deo, analisis data penonton dan pemantauan kandungan secara real-time (masa sebenar).

Bagi mencapai matlamat ini, IPPTAR menyediakan pelbagai kursus latihan yang bertujuan memberi pemahaman dan kemahiran teknikal berkaitan AI kepada tenaga profesional dalam bidang media.
Ini termasuk kursus mengenai pemprograman AI, penggunaan alat analisis data berasaskan AI dan cara AI boleh digunakan untuk meningkatkan pengalaman penonton serta kualiti penyiaran.

Kami juga bekerjasama de­ngan syarikat teknologi dan institusi pengajian tinggi dalam pembangunan aplikasi AI yang dapat digunakan dalam industri penyiaran.
Sebagai contoh dalam penciptaan kandungan automatik dan perkhidmatan personalisasi untuk audiens.
Hal ini bertujuan untuk menjadikan industri penyiaran di Malaysia lebih berdaya saing dan relevan selari dengan perubahan pesat dalam teknologi komunikasi global.

Apa antara langkah-langkah yang diambil oleh IPPTAR dalam memastikan teknologi terkini dalam bidang penyia­ran dapat diterima dan digunakan secara berkesan?

IPPTAR sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terkini dalam bidang penyiaran dan media digital.

Sebagai contoh, kami telah memperkenalkan kursus mengenai teknologi penyiaran terkini seperti penyiaran 4K dan 8K serta teknologi realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR) dalam penyiaran.
Selain itu, kami menyediakan latihan praktikal dengan kerjasama pengeluar peralatan penyiaran terkemuka supaya para peserta kursus dapat memahami dengan lebih mendalam cara teknologi ini berfungsi.

Pada masa sama, kami turut menyediakan fasiliti berupada makmal penyiaran dan studio yang dilengkapi peralatan teknologi terbaharu bagi membolehkan peserta menjalani latihan secara hands-on.
Melalui usaha ini, kami berharap dapat memastikan tenaga kerja dalam sektor penyiaran sentiasa berada pada tahap kemahiran yang tinggi dan bersedia menghadapi perubahan teknologi yang semakin pesat.
Kami juga kerap mengadakan seminar dan bengkel dengan pakar industri untuk memper­kenalkan teknologi baharu kepada pengamal penyiaran dan memberi mereka peluang berkongsi pengalaman serta pengetahuan yang diperoleh.

Adakah terdapat kerjasama antara IPPTAR dengan pihak atau agensi lain dalam memperkasa industri penyiaran negara?

IPPTAR sentiasa membuka ruang dan peluang untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi serta institusi bagi memajukan sektor penyiaran dan penerangan negara.
Antaranya termasuk kerjasama dengan Kementerian Komunikasi, RTM dan syarikat media penyiaran utama dalam negara seperti Media Prima dan Astro.
Kami juga bekerja rapat dengan universiti tempatan dan antarabangsa yang menawarkan kursus-kursus dalam bidang penyiaran dan teknologi media.

Selain itu, IPPTAR turut menjalin hubungan dengan badan-badan antarabangsa yang memberi tumpuan kepada perkembangan media seperti Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU) dan International Telecommunication Union (ITU) dalam usaha memperluaskan jaringan kerjasama dan pertukaran ilmu penyiaran.

Kerjasama pintar ini membolehkan kami menawarkan latihan yang lebih komprehensif dan selaras dengan keperluan semasa, sekali gus memastikan peserta lebih bersedia menghadapi cabaran industri global.
Lebih bersejarah, Oktober depan IPPTAR buat kali pertamanya sejak ditubuhkan bakal menjadi hos atau badan pelaksana dalam sebuah program berbentuk seminar global mengenai cabaran dan impak mengekang berita palsu selama tiga hari bersama anggota negara ASEAN sekali gus menjadi ‘bench mark’ tersendiri sebagai pusat latihan awam tersohor negara.

Boleh kongsikan cabaran utama yang dihadapi IPP­TAR bagi menerapkan penggunaan teknologi AI dalam bidang penyiaran negara?

Salah satu cabaran terbesar yang kami hadapi adalah kurangnya pemahaman dan penerimaan terhadap AI dalam kalangan pengamal industri penyiaran khususnya mereka yang sudah lama berke­cimpung dalam bidang ini.
Adakalanya, terdapat ketakutan terhadap perubahan yang melibatkan teknologi baharu kerana kebimbangan ia mungkin menggantikan pekerja
manusia.
Bagi menghadapinya, IPPTAR memberi tumpuan kepada latihan yang lebih bersifat praktikal dan memperkenalkan penggunaan AI sebagai alat sokongan dan bukan bersifat pengganti.
Kami juga memberi penera­ngan mengenai manfaat AI dalam meningkatkan kecekapan kerja dan kualiti kandungan serta bagaimana teknologi ini dapat membantu mengurangkan beban kerja dalam proses penyia­ran.
Selain itu, kami turut be­kerjasama dengan pakar-pakar teknologi untuk memastikan para peserta kursus memahami asas AI dan cara dapat diterapkan dalam penyiaran sekali gus meningkatkan kualiti dan pengalaman au­diens.
Menerusi pendekatan ini, kami yakin penggunaan AI akan diterima dan diadaptasi dengan lebih mudah oleh para profesional.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN