fbpx
HANI Melisa (kiri) dan Aida (tengah) antara peminat minuman matcha dalam kalangan generasi muda.

Obsesi ‘air hijau’, trend minum matcha generasi muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK beberapa tahun lalu, trend minum matcha bagaikan satu fenomena, khususnya di negara-negara Barat.

Jika di Malaysia, peminat minuman berwarna hijau itu terdiri kalangan generasi muda yang gemar mencuba pelbagai jenis matcha di kafe-kafe, bahkan ada yang sanggup berhabis duit untuk membeli matcha dengan gred terbaik yang diimport khas dari Jepun, serta mendapatkan perkakas membuat matcha sendiri di rumah.

Rasa, aroma, khasiat dan nilai estetika minuman matcha menjadi tarikan utama, menjadikan ia lebih daripada sekadar minuman trendy.

Matcha ialah sejenis serbuk teh hijau yang dikisar halus dan digunakan secara tradisional dalam upacara minum teh di Jepun.

Matcha juga terbahagi kepada dua gred utama iaitu ceremonial dan kulinari yang digunakan bukan sahaja dalam penghasilan minuman tetapi juga masakan atau pencuci mulut berasaskan matcha.

Berkongsi tentang kecintaannya terhadap matcha sehingga TikTok miliknya menjadi ‘sumber rujukan’ peminat matcha tempatan, Aida Shafinaz Mohamed Shafit berkata, ia bermula secara tidak sengaja, selepas menyedari bahawa ada sesuatu yang menenangkan dalam rutin hariannya yang melibatkan proses penyediaan secawan matcha setiap pagi.

“Sebelum memulakan TikTok yang hanya memfokuskan tentang matcha daripada jenis, resipi dan cara penyediaan, saya sudah pun aktif dalam media sosial dan kerap berkongsi aspek lain dalam kehidupan seharian.

“Saya juga amat mencintai teh seperti teh peppermint, namun matcha bagi saya lebih istimewa.

“Pada 2022, saya menyedari ada sesuatu yang menenangkan dalam rutin harian saya, setiap kali saya membancuh minuman hijau itu. Proses itu bagi saya bagaikan satu bentuk meditasi,” kata wanita berusia 20-an itu kepada CitaRasa.

Cara penyediaan matcha sendiri di rumah seperti ditunjukkan Aida.

Bagi Aida, apa yang menarik tentang matcha, khususnya dalam kalangan generasi muda adalah ia bukan sahaja minuman yang enak, bahkan menggambarkan budaya yang mengajar kita untuk ‘be in the moment’.

Tambah anak kelahiran Florida, Amerika Syarikat itu lagi, dia kemudian terfikir untuk memuat naik kandungan berkenaan matcha menerusi TikTok setelah melihat sudah ramai pengguna platform itu yang berkongsi kecintaan matcha yang sama sepertinya.

“Saya mula buat lebih banyak kajian berkenaan matcha, dan ketika itu juga saya mulai lihat sudah ramai yang mengubah kecintaan terhadap minuman ini menjadi sumber pendapatan, mula ‘matcha hopping’ di kafe-kafe dan meneroka budaya di sebalik matcha.

“Saya kagum kerana minuman ini menyatukan ramai orang,” katanya yang turut menubuhkan kumpulan Telegram yang dinamakan ‘Matcha Friends’.

Matcha Friends sehingga kini sudah mengumpul lebih 1,600 orang ahli yang sama-sama ‘gilakan’ matcha. Aida menggunakan platform itu dengan berkongsi jenis matcha kegemarannya dan dari mana peminat matcha boleh mendapatkannya.

Akui Aida yang juga digelar ‘kakak matcha’ oleh pengguna TikTok, dia seronok apabila dapat meneroka dan berkongsi tentang matcha di platformnya dan berkenalan dengan mereka yang berkongsi minat sama.

Matcha berasal daripada satu tumbuhan dikenali sebagai Camellia sinensis, yang juga menghasilkan teh hijau. Beza antara matcha dan teh hijau adalah daripada kaedah penanaman, penuaian dan pemprosesan.

Bagi matcha, sebelum dipetik, daun pokok itu akan dilindungi daripada cahaya matahari untuk tingkatkan kandungan klorofilnya dan hasilkan warna hijau yang terang, sedangkan teh hijau biasa ditanam di bawah cahaya matahari hinggalah saat dituai.

Matcha Friends mengumpulkan ribuan peminat matcha.

Selepas dikeringkan, daun teh akan menjadi serbuk halus dan menghasilkan serbuk matcha.

Seorang lagi peminat matcha, Hani Melisa Teh, 24, mula mengenali matcha sejak di bangku sekolah menengah, selepas membuat keputusan untuk mengurangkan pengambilan minuman manis.

Selepas mencuba matcha, Hani terpikat dengan rasanya yang pahit, earthy, namun berkrim.

“Rasanya rumit, namun dalam masa yang sama ia juga comforting,” ujarnya.

Hani yang juga popular sebagai salah seorang pencipta kandungan bertemakan matcha menerusi TikTok @hani.melisa memberitahu dia suka meneroka kafe-kafe di negara ini, sebagai cara untuk menunjukkan bahawa matcha menjadi gaya hidup khususnya dalam kalangan generasi muda di Malaysia.

Bahkan, menyedari sambutan dan permintaan yang tinggi terhadap minuman matcha berkualiti, Hani juga kini menjalin kerjasama dengan pemilik beberapa kafe khusus menjual matcha di negara ini, dengan hasrat menjadikan matcha lebih mudah didapati dan dihargai di Malaysia.

“Saya teruja apabila kandungan yang saya hasilkan secara tidak langsung telah berjaya mewujudkan satu komuniti peminat matcha sama ada mereka yang baru mencuba dan mereka yang sudah kategori ‘pakar’ matcha.

“Bahkan ada pengikut saya yang memaklumkan mereka mempercayai dan mengunjungi setiap lokasi matcha yang saya sarankan, menyebabkan saya terharu,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Hani juga tidak melihat kegilaan terhadap matcha ketika ini hanya sekadar trend bermusim, kerana dia percaya sama seperti kopi, ia akan terus diminati.

“Saya benar-benar percaya bahawa matcha akan terus kekal relevan. Seperti kopi, matcha menawarkan pelbagai lapisan rasa, gaya penyediaan dan sejarah budaya.

“Ia bukan sekadar satu trend, ia bagi saya adalah satu gerakan. Sama seperti budaya kopi yang berkembang, saya rasa matcha sedang melalui perjalanan sama.

“Tambahan pula, dengan pelbagai manfaat kesihatan daripada manfaat antioksidan hingga ketenangan yang diperoleh, matcha sangat sesuai dengan gaya hidup ramai,” katanya.

Wallace Ong yang merupakan pemilik kafe JoMI Matcha di Pulau Pinang pula berkongsi, ada sebab mengapa minuman matcha lebih menarik di mata generasi muda.

Antaranya adalah rasanya yang pahit dan aroma umpama herba yang apabila digabungkan dengan manisan bakal menghasilkan satu rasa yang menarik.

Selain itu, Ong melihat generasi muda masa kini suka meneroka elemen budaya yang berbeza, menjadikan minuman itu mempunyai peminatnya tersendiri.

“Saya juga menyedari perkembangan dunia media kini turut membantu mempopularkan lagi pasaran matcha, sekali gus meningkatkan permintaan dan menghasilkan pengaruh yang besar,” katanya.

Ong turut menitipkan pesan buat anak muda yang barangkali baru berjinak-jinak dengan matcha, untuk mengenal pasti selera mereka memandangkan terdapat begitu banyak jenis matcha yang ada di pasaran.

“Pastikan anda tahu jenis matcha yang anda suka dari segi rasa, tekstur dan sebagainya. Selain itu, anda juga boleh mula belajar cara mengenal pasti matcha asli atau tiruan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN